Penutupan Satu Babak: Perjalanan Penyelesaian Antara Pemegang Saham

Penutupan Satu Babak: Perjalanan Penyelesaian Antara Pemegang Saham

Baru-baru ini, firma kami telah menerima arahan daripada klien untuk mengendalikan urusan penutupan perniagaan serta isu pengunduran pemegang saham. Kebetulan, entiti perniagaan tersebut sedang melalui satu fasa peralihan penting yang melibatkan penstrukturan semula syarikat serta pengunduran salah seorang pemegang sahamnya. Setelah melalui pelbagai perbincangan, rundingan dan pertimbangan dalaman, semua pihak akhirnya berjaya memeterai satu Perjanjian Penyelesaian secara rasmi bagi memastikan proses pemisahan dapat dilaksanakan secara lancar, profesional dan saling menghormati, sekaligus mencapai satu penyelesaian menang-menang kepada semua pihak yang terlibat.

Berdasarkan situasi tersebut, salah seorang pemegang saham telah melantik firma kami untuk menyediakan dan merangka satu perjanjian melibatkan pengunduran seorang pemegang saham daripada syarikat sebagai pengarah dan juga pemegang saham, manakala pemegang saham yang selebihnya bersetuju untuk mengambil alih tanggungjawab membeli saham pihak yang menarik diri tersebut melalui jumlah penyelesaian yang dipersetujui dan dibayar secara berperingkat. Perjanjian tersebut juga berfungsi sebagai instrumen bagi memudahkan pemindahan saham daripada pihak yang menarik diri kepada baki pemegang saham yang lain.

Kami amat berbesar hati melihat pertikaian dapat diselesaikan secara baik dengan kos yang munasabah dan syarikat dapat terus berkembang bersama baki pemegang saham untuk menyusun semula strategi pengurusan serta pembangunan perniagaan. Pada masa yang sama, pihak yang menarik diri juga berjaya memperoleh jumlah penyelesaian yang munasabah untuk memulakan langkah baharu dalam industri berkaitan.

Hari ini, kami ingin berkongsi beberapa tips dan perkara utama yang membantu semua pihak mencapai persetujuan bersama yang memberi manfaat kepada semua pihak:

1. Struktur Bayaran Penyelesaian

Jumlah penyelesaian telah dipersetujui secara bersama dan dijadualkan melalui:
  • Bayaran permulaan semasa pelaksanaan perjanjian;
  • Beberapa bayaran ansuran berikutnya dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Struktur ini membolehkan kedua-dua pihak bergerak ke hadapan dengan lebih jelas dan mempunyai kepastian kewangan dengan penglibatan pihak berkepentingan seperti firma guaman dan/atau setiausaha syarikat yang dilantik.

2. Peletakan Jawatan Pengarah
Setelah menerima bayaran pertama, pemegang saham yang menarik diri secara rasmi meletakkan jawatan sebagai pengarah syarikat dan tidak lagi terlibat dalam pengurusan serta representasi syarikat. Ini juga merupakan salah satu elemen rundingan penting bagi memastikan pihak yang menarik diri berjaya memperoleh tranche pertama jumlah penyelesaian yang dipersetujui. Bayaran secara berperingkat sentiasa digalakkan bagi memastikan proses peralihan dapat dilaksanakan dengan lancar tanpa kelewatan, memandangkan setiap pihak komited untuk menyempurnakan transaksi secara progresif dan munasabah.

3. Pengaturan Pemindahan Saham
Selain peletakan jawatan sebagai pengarah, persoalan utama yang sering dibimbangi oleh baki pemegang saham adalah bila dan bagaimana pemindahan saham pihak yang menarik diri akan diuruskan supaya semua pihak berasa selamat dan terjamin. Kami telah menasihatkan agar pemindahan saham tersebut hanya berkuat kuasa selepas keseluruhan bayaran penyelesaian dilunaskan sepenuhnya melalui bantuan firma stakeholder dan/atau setiausaha syarikat.
Sehingga bayaran terakhir diselesaikan:
  • Hak milik sah dan benefisial saham kekal di bawah pemilikan pemegang saham yang menarik diri;
  • Baki pemegang saham pula terus menguruskan operasi syarikat tanpa mengabaikan tanggungjawab mereka untuk menjelaskan keseluruhan jumlah penyelesaian mengikut perjanjian.
Ini merupakan salah satu intipati penting bagi memastikan semua pihak dilindungi secara adil sepanjang tempoh peralihan tersebut.

4. Tanggungjawab Bersama
Pihak-pihak yang terlibat bersetuju untuk bertanggungjawab secara bersama dan berasingan bagi memenuhi obligasi penyelesaian. Secara ringkasnya, setiap pemegang saham kekal bertanggungjawab secara individu untuk memastikan bayaran yang dipersetujui disempurnakan dan pihak yang menarik diri menerima keseluruhan bayaran tepat pada masanya. Perkara ini juga mencerminkan komitmen semua pihak dalam melaksanakan obligasi yang dipersetujui dan memastikan proses peralihan perniagaan berjalan dengan lancar.
Terma ini sememangnya membantu mewujudkan jaminan dan akauntabiliti yang lebih kukuh dalam perjanjian.

5. Perlindungan Sekiranya Berlaku Kemungkiran
Perjanjian tersebut juga mengandungi perlindungan tertentu yang boleh dilaksanakan oleh pihak yang menarik diri sekiranya berlaku kelewatan pembayaran oleh baki pemegang saham, termasuk tetapi tidak terhad kepada:
  • Hak untuk menuntut serta-merta baki tertunggak, faedah dan kos berkaitan;
  • Penangguhan dokumen pemindahan saham sehingga isu diselesaikan;
  • Apa-apa remedi dan tindakan undang-undang lain yang boleh diambil sekiranya perlu.
6. Pelepasan Bersama
Setelah semua bayaran dan pemindahan saham disempurnakan:
  • Semua pihak akan saling melepaskan antara satu sama lain daripada sebarang tuntutan atau pertikaian terdahulu berkaitan syarikat;
  • Setiap pihak boleh meneruskan haluan masing-masing secara aman dan profesional.
Dari sudut pandangan firma kami, ini merupakan salah satu aspek paling penting untuk dimasukkan ke dalam perjanjian.

7. Kerahsiaan dan Profesionalisme
Satu lagi aspek penting dalam penyelesaian ini ialah mengekalkan kerahsiaan berkaitan maklumat syarikat, operasi, harga dan hal ehwal dalaman syarikat.
Walaupun selepas perpisahan, sikap profesional dan saling menghormati tetap penting bagi memastikan tiada pihak melakukan apa-apa tindakan yang boleh memudaratkan pihak lain, dengan matlamat untuk mengekalkan penyelesaian secara baik terhadap sebarang konflik yang mungkin timbul selepas pemisahan tersebut.

Melangkah Ke Hadapan
Setiap perjalanan perniagaan mempunyai musim dan fasa yang berbeza. Ada kalanya individu berkembang bersama, dan ada masanya haluan berbeza dipilih tanpa semestinya menimbulkan pertikaian atau konflik. Semua perkara ini sebenarnya boleh dibincangkan dan diatur dengan baik demi kepentingan terbaik semua pihak tanpa perlu melalui proses litigasi yang panjang dan memerlukan kos yang tinggi.

Kami amat bersyukur kerana semua pihak berjaya mencapai persefahaman bersama dan memformalkan keseluruhan proses ini secara profesional. Semua pihak memperoleh pengakhiran yang baik, dan kini tibalah masanya untuk semua yang terlibat memberi fokus kepada babak baharu masing-masing serta meraikan permulaan yang lebih baik pada masa hadapan.