Misteri Terbongkar! Siapa Sebenarnya 'Mastermind' di Sebalik Doktor Gadget?

Misteri Terbongkar! Siapa Sebenarnya 'Mastermind' di Sebalik Doktor Gadget?

“Kalau Tidak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya”
Perjalanan Hidup Muhammad Faiz Ridzuan Membina Empayar Doktor Gadget

 

Di sebuah kampung yang sederhana di Besut, lahir seorang anak muda yang membesar dalam suasana serba kekurangan, namun penuh dengan nilai dan didikan yang kuat. Muhammad Faiz Ridzuan, anak keenam daripada tujuh adik-beradik, tidak pernah menjadikan latar belakang hidup sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Sejak kecil, beliau sudah menunjukkan minat yang luar biasa terhadap dunia elektronik. Ketika kanak-kanak lain sibuk bermain, beliau lebih gemar menghabiskan masa dengan membongkar radio lama, memahami fungsi setiap komponen dan cuba membaiki peralatan yang rosak. Apa yang bagi orang lain hanyalah barang terpakai, bagi beliau adalah peluang untuk belajar. Minat ini bukan sekadar minat sementara namun ia berkembang menjadi satu keinginan mendalam untuk memahami dan menguasai bidang tersebut.

Perjalanan beliau diteruskan apabila melanjutkan pengajian dalam bidang Elektronik di Malaysia-Japan Industrial Institute (MJII). Di institusi ini, beliau bukan sahaja menimba ilmu secara teori malah memperkukuhkan kemahiran praktikal yang menjadi asas kepada perjalanan kerjayanya.

Namun, bagi beliau, ilmu tidak hanya terhad di dalam kelas. Dengan semangat yang tinggi, beliau sanggup berulang alik ke tempat kenalan yang lebih berpengalaman dalam bidang telekomunikasi semata-mata untuk belajar secara langsung. Sikap ingin belajar ini menjadikan beliau lebih cepat matang dan mahir berbanding rakan sebaya.

Pada usia seawal 17 tahun, beliau sudah mula membuka kedai kecil alat telekomunikasi dengan menggunakan simpanan sendiri serta bantuan keluarga. Walaupun kecil, langkah ini menjadi titik permulaan kepada perjalanan besar yang akan datang.

 

Langkah Pertama Dalam Dunia Perniagaan

Selepas menamatkan pengajian sekitar tahun 2016 di Institusi milik MARA (MJII) beliau memilih untuk tidak bergantung kepada pekerjaan makan gaji. Sebaliknya, beliau mengambil keputusan berani untuk memulakan perniagaan sendiri.

Dengan hanya sebuah ruang kecil yang dijadikan sebagai “inkubator”, beliau mula menawarkan perkhidmatan pembaikan telefon, menjual aksesori dan membina kepercayaan pelanggan dari bawah. Ketika itu, teknologi 'smartphone' masih berkembang dan tidak semua melihat potensi besar dalam industri tersebut.

Namun begitu beliau melihat peluang lebih awal...

Hari demi hari, walaupun berhadapan dengan cabaran seperti kekurangan pelanggan, modal terhad dan ketidakstabilan pendapatan, beliau tetap konsisten. Setiap pelanggan dilayan dengan penuh kejujuran dan setiap kerja dilakukan dengan teliti.

Dan dari situlah lahirnya sebuah jenama yang kini dikenali sebagai Doktor Gadget.

 

Dengan bantuan pembiayaan MARA, dari satu cawangan ke rangkaian kukuh. Dengan usaha berterusan, perniagaan beliau mula berkembang. Kepercayaan pelanggan juga meningkat, reputasi semakin kukuh dan peluang untuk berkembang semakin terbuka luas.

Apa yang bermula dengan sebuah kedai kecil kini berkembang menjadi:

7 cawangan aktif

• Beroperasi di sekitar Lembah Klang, Putrajaya dan Negeri Sembilan

• Menjana pendapatan tahunan mencecah RM2.24 juta

Namun, kejayaan ini tidak datang dalam sekelip mata. Ia adalah hasil daripada disiplin, kerja keras serta keberanian untuk terus melangkah walaupun berdepan ketidakpastian.

 

Memberi Impak Kepada Masyarakat

Bagi Muhammad Faiz Ridzuan, kejayaan bukan sekadar diukur melalui keuntungan semata-mata tetapi yang lebih penting adalah impak yang dapat diberikan kepada masyarakat.

Melalui Doktor Gadget, beliau telah:

• Membuka peluang pekerjaan kepada 24 orang staf tetap

• Memberi latihan kepada lepasan TVET dan pelajar universiti

• Membentuk tenaga kerja mahir dalam bidang teknikal dan keusahawanan

Beliau percaya bahawa membina perniagaan juga bermakna membina masa depan orang lain.

 

Pengorbanan, Doa dan Sokongan

Di sebalik setiap kejayaan, terdapat pengorbanan yang tidak terlihat. Beliau tidak pernah melupakan jasa kedua ibu bapanya yang sentiasa memberi sokongan dan doa tanpa henti.

Begitu juga dengan keluarga, isteri dan insan terdekat yang sentiasa berada di sisi dalam menghadapi setiap cabaran. Kekuatan ini merupakan pendorong untuk beliau terus melangkah lebih jauh.
 

Misi dan Masa Hadapan

Perjalanan beliau masih belum berakhir. Dengan visi yang jelas, beliau berhasrat untuk menjadikan Doktor Gadget sebagai peneraju industri servis gajet tempatan.

Antara perancangan masa hadapan beliau:

• Mengembangkan 40 cawangan aktif menjelang tahun 2035

• Memperkukuhkan sistem operasi

• Melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri

 

Kisah ini membuktikan bahawa kejayaan bukan bergantung kepada latar belakang, tetapi kepada usaha dan keberanian untuk bermula. Dari seorang anak kampung yang membaiki radio lama, kini muncul seorang usahawan yang membina empayar sendiri.Dan seperti pepatah yang menjadi pegangan hidupnya.

“Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.”